Apa khabar sahabat semua? Mudah-mudahan semuanya sihat dan sentiasa di dalam lindungan ALLAH S.W.T. Alhamdulillah, syukur ke hadratNYA atas kurniaan nikmat yang tidak terhingga. Semoga kita dilimpahi taufik dan hidayahNYA sepanjang hayat dikandung badan.
![]() |
Setiap manusia pastinya mendambakan untuk memiliki teman atau sahabat sejati, malah itulah fitrah manusia. Bagaimana untuk memperolehinya?
Pertama sekali, carilah sahabat yang punya potensi positif. Potensi positif yang dimaksudkan adalah seseorang yang memiliki keperibadian dan akhlak terpuji serta berupaya membawa kita ke jalan kebaikan. Sahabat yang banyak memberi bantuan yang sangat besar antaranya memberi nasihat dan sanggup menegur tatkala alpa dan sedang kita diselimuti kegelapan.
Keduanya, carilah sahabat yang berani ; iaitu berani meninggalkan kejahatan. Jangan takut ditinggalkan kawan kerana perubahan hijrah kepada kebaikan. Contohilah sebagaimana Saidina Ali yang mana merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam atas keberaniannya untuk tidur di katil menggantikan Nabi Muhammad S.A.W yang pergi berhijrah ketika itu. Semuanya dilakukan atas rasa keimanan yang tinggi Saidina Ali terhadap Islam. Segalanya hasil daripada rasa cinta kepada ALLAH dan Rasulullah S.A.W.
Ketiga, carilah sahabat yang setia dan sentiasa bersama di waktu susah dan senang. Kesetiaan wajarlah bertepatan pada garis panduan agama, bukan mengikut bulat-bulat segala kesalahan yang dilakukan sahabat kita. Saidina Abu Bakar As-Siddiq sangat setia kepada Rasulullah S.A.W ketika mereka pergi berhijrah. Ingatlah " Sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama kita.
Keempat, kita janganlah mengambil kesempatan terhadap sahabat. Sebagai contoh kaum Muhajirin dan Ansar yang bertimbang rasa antara satu sama lain serta bersifat adil. Untuk mendapatkan sahabat sejati perlulah bermula dengan kita, betulkan niat dan sematkan azam untuk berhijrah dan berubah. Mudah-mudahan dipertemukan dengan sahabat yang sejati, insyallah.
Selamat berhijrah dalam melungsuri kehidupan yang penuh pancaroba.
Salam UKHUWAH,
Abu Hurairah Awal.




0 Ulasan:
Post a Comment